medical news today

Health Information

Google Search

Tuesday, March 11, 2014

Hipertensi dan Warga Emas Uzur

Highlight Image

Apakah maksud uzur?
Seseorang yang berumur  80 tahun mungkin masih aktif dalam aktiviti-aktiviti harian dan boleh bertemu dengan rakan-rakan setiap hari untuk minum petang, manakala seorang lagi yang juga berumur  80 tahun mungkin  bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak kerana penyakit sendi pada lutut yang teruk, nyanyuk dan memerlukan bantuan semasa makan dan mandi.


Contoh pertama adalah warga emas yang sihat manakala contoh kedua adalah warga emas yang uzur.
Warga-warga emas adalah kumpulan orang yang sangat berbeza.
Keuzuran berlaku apabila terdapat pengurangan rizab badan seseorang. Ini menyebabkan pengurangan keupayaan beliau untuk menghadapi cabaran dari luar badan seperti penyakit dan juga ubat-ubatan.
Dalam erti kata lain, warga emas uzur lebih berisiko kepada komplikasi teruk semasa menghidap penyakit dan semasa mengambil ubat-ubatan.
Hipertensi dan warga emas uzur
Insiden hipertensi meningkat dengan usia. 
Tidak ada sebarang perbezaan daripada segi rawatan dan objektif rawatan untuk warga tua yang sihat berbanding dengan golongan muda(rujuk kepada topik pada hipertensi dan warga tua (sihat).
Walau bagaimanapun, rawatan hipertensi untuk warga emas uzur perlu disesuaikan mengikut keperluan individu. Ini disebabkan warga tua uzur lebih terdedah kepada kesan sampingan ubat-ubatan.
Apakah sebab keuzuran dalam warga tua?
Keuzuran boleh berlaku kepada aspek fizikal, mental, emosi dan sosial seseorang warga emas.
Keuzuran fizikal dan mental merupakan pengumpulan (secara kumulatif) :
  • Proses degeneratif berpunca daripada penggunaan berterusan (cth:sakit sendi)
  • Penyakit degeneratif (cth :Penyakit  Alzheimer, Penyakit Parkinson)
  • Kemerosotan fisiologi fungsi organ dan jisim otot
Keuzuran daripada segi sosial mungkin berlaku atas sebab-sebab berikut :
  • Kematian suami / saudara-mara dan / atau rakan-rakan rapat
  • Anak-anak dewasa yang tinggal/bekerja berjauhan
Siapa yang dikatakan uzur
Tiada cara mudah untuk menentukan siapa yang uzur dan siapa tidak uzur.
Warga emas yang bergantung sepenuhnya kepada penjaga untuk melaksanakan semua aktiviti harian adalah uzur manakala warga emas yang berdikari dalam semua aspek adalah tidak uzur.
Walau bagaimanapun, adalah susah untuk mengenal pasti mereka yang tergolong di pertengahan dua kumpulan ini.
Oleh kerana warga emas uzur lebih sensitif kepada kesan sampingan rawatan, adalah penting untuk anda melaporkan segala kesan sampingan yang anda alami kepada doktor anda.
Sekiranya terdapat sebarang keraguan  tentang gejala kesan sampingan dan ubat-ubatan, adalah lebih baik melaporkannya kepada doktor untuk siasatan yang lebih terperinci.
Penilaian yang lengkap oleh doktor anda boleh membantu mengenal pasti warga emas berisiko uzur.
Komplikasi
Warga emas uzur mempunyai masalah kesan sampingan daripada ubat-ubatan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan warga emas sihat dan orang muda.
Warga emas uzur mungkin juga mengalami kesan sampingan yang tidak selalu dilaporkan.
Warga emas uzur lebih terdedah kepada masalah hipotensi postur (hipotensi postur) dan gejala kesan pengambilan ubat-ubatan darah tinggi.
Warga emas lebih cenderung mengambil banyak ubat-ubatan. Interaksi antara ubat-ubatan boleh menyebabkan kesan buruk. Sebagai contoh, orang tua yang sedang mengambil ubat tekanan darah tinggi mungkin mempunyai penurunan tekanan darah drastik sekiranya ubat untuk penyakit prostat ditambah, dan ini mungkin menyebabkan pening dan gejala jatuh. Oleh itu, maklumkan kepada doktor anda mengenai semua ubat-ubatan yang anda sedang ambil.
Apakah ujian untuk mengenalpasti uzur
Pada masa ini, ujian untuk mengenal pasti uzur tidak dilakukan secara rutin.
Sejenis ujian saringan ringkas yang boleh dilakukan dipanggil ‘Time Up and Go’. Anda dikehendaki untuk berdiri dari kedudukan duduk dan diminta untuk berjalan untuk satu jarak tertentu sebelum disuruh berpatah balik dan berjalan kembali ke tempat duduk. Anda akan dinilai bagaimana anda berdiri dari kedudukan duduk, bagaimana anda berjalan, dan masa yang diambil untuk berjalan.
Apakah yang boleh saya lakukan di rumah
Warga emas uzur lebih berisiko untuk mengalami masalah hipotensi postur daripada rawatan darah tinggi. Pemeriksaan tekanan darah di rumah sendiri dengan mengunakan alat pengukur tekanan darah tinggi automatik dapat membantu anda mengesan masalah hipotensi postur.
Anda perlu memeriksa tekanan darahpada kedudukan duduk dan berdiri.
Bacaan  yang  tidak  normal bermakna  penurunan :
  • 20 mmHg bacaan atas (sistolik) dan/atau
  • 10 mmHg bacaan bawah (diastolik)
Sekiranya terdapat sebarang keraguan, dapatkan nasihat perubatan daripada doktor anda.
Bagaimana hipertensi warga emas uzur dirawat
Hipertensi di kalangan warga emas uzur dirawat dengan cara yang sama seperti mana orang lain yang mempunyai hipertensi. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit butiran yang perlu diberi perhatian :
  • Ubat-ubatan darah tinggi harus dimulakan pada dos rendah dansebarang peningkatan dos hendaklah dilakukan secara perlahan-lahan. Laporkan segala kesan sampingan yang anda alami.
  • Kadang-kadang matlamat kawalan hipertensi yang disyorkan tidak dapat dicapai untuk warga emas uzur kerana masalahhipotensi postur yang teruk  berterusan walaupun selepas pelarasan dos dan ubat-ubatan darah tinggi. Sekiranya ini berlaku, tekanan darah yang terendah yang boleh diterima oleh warga emas tersebut akan diambil sebagai matlamat kawal hipertensi khas untuk beliau.
Bagi warga emas berumur 80 tahun dan ke atas, matlamat kawalan hipertensi adalah <150/80 mmHg. Sasaran tahap tekanan darah yang ditetapkan akan berbeza mengikut ciri – ciri individu.
Pencegahan
Proses keuzuran boleh ditangguhkan sekiranya anda mula melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti fizikal pada usia yang muda. Penglibatan diri dalam aktiviti-aktiviti fizikal dari muda dapat meningkatkan rizab badan.

Pencegahan kesan sampingan ubat-ubatan dilakukan dengan melaporkan secara tepat mengenai sebarang masalah yang dialami kepada doktor anda.
Sentiasa bawa semua ubat-ubatan yang anda sedang ambil apabila anda berjumpa dengan doktor anda. Dengan ini,  doktoranda dapat memberi ubat yang bersesuaian sekiranya terdapat penambahan atau pertukaran ubat. Ini bagi mengelakkan interaksi ubat-ubatan yang tidak diingini.

Rujukan
  1. Beckett, N.S., Peters, R., Fletcher, A.E., et al. (2008).Treatment of Hypertension in Patients 80 Years of Age or Olderfor the HYVET Study Group. N Eng J Med, 358, 1887-1898.
  2. Chobanian,A.V., Bakris,G.L., Black,H.R.,et al.(2003).The Seventh Report of the Joint National Committee (JNC) on the Prevention, Detection, Evaluation and Treatment of High Blood Pressure.JAMA,289(19),2560-2572.
  3. Espinoza, S. & Walston, J.D. (2005). Frailty in older aldults: Insights and interventions. Cleveland Clin J Med, 72(12). 1105-1112. Available:http://geriatrics.uthscsa.edu/reading%20resources/Frailty%20in%20older%20adults,%20Insights%20and%20Interventions%20(Espinoza%20-%20Walston).pdf. Accessed 20 Sept 2012
  4. Rahman, A.R., Bavanandan, S., Kamaruddin, A.S., et al. (2008). Clinical Practice Guidelines: Management f hypertension ( 3rd ed. 2008): Ministry of Health Malaysia.

Semakan akhir:20  Januari 2014
Penulis:Dr. Cheah Wee Kooi

0 comments:

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Free Auto Malaysia Backlinks

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP